Terima Kasih Kerana Sudi Melihat Blog ini. Sila Klik Gambar di atas..

Thursday, 14 June 2012

Sejarah dan Asal Usul Teknologi


Teknologi mempunyai pelbagai makna. Makna teknologi yang biasa kita dengar ialah mesin atau lain-lain produk yang terhasil daripada ilmu sains moden. Mesin atau alat-alat ini diperlukan
oleh manusia untuk memastikan kehidupan yang selesa dan bahagia. Bagaimanapun, tafsiran seperti ini dianggap amat sempit. Ia merupakan satu generalisasi jika teknologi ditafsirkan sama seperti mesin atau peralatan semata-mata. Ini kerana maksud teknologi merangkumi lebih daripada perkara-perkara tersebut.


Jadi apakah makna teknologi yang lebih wajar bagi manusia? Perkataan teknologi berasal daripada bahasa Yunani, techne yang bermakna kemahiran. Berdasarkan erti asal perkataan Yunani ini, maka wajarlah jika Galbraith (1967) mendefinisikan teknologi sebagai:


...the systematic application of scientific knowledge and other organized knowledge to practical tasks.

Ertinya, kemahiran yang dimaksudkan ialah kemahiran menggunakan pengetahuan (saintifik mahupun tidak) secara sistematik sehingga terbit satu amalan yang praktikal bagi melaksanakan sesuatu tugas. Marilah kita teliti istilah ini dengan lebih lanjut. Pengetahuan saintifik ialah sebarang himpunan pengetahuan atau ilmu yang telah teruji dan dapat dinyatakan dalam bentuk satu set prinsip-prinsip am. Misalnya, air yang dimasak hingga menggelegak didapati dapat membunuh kebanyakan kuman yang memudaratkan kesihatan manusia. Satu lagi contoh ialah pembelajaran perlu dimulakan daripada pengalaman konkrit kepada abstrak. Andainya kita laksanakan prinsip ini, bermakna kita telah menggunakan pengetahuan saintifik.

Pengetahuan lain yang tersusun (other organised knowledge) adalah juga pengetahuan yang berguna kepada manusia. Masih banyak pengetahuan yang tidak terbukti secara saintifik tetapi menjadi amalan kita kerana ia diterima berdasarkan pengalaman dan pengamatan manusia. Contohnya, penggunaan herba dan serangga dalam perubatan. Namun, penggunaan pengetahuan semata-mata belum boleh diklasifikasikan sebagai satu
teknologi kerana syarat untuk digelarkan sesuatu amalan itu berteknologi terletak kepada aspek  penggunaannya secara sistematik lagi praktikal.

Dalam hal ini, jika dirujuk kembali kepada memasak air, maka aspek yang dilihat mungkin tentang kebersihan bekas memasak air, dapur memasak yang selamat dan jangka masa untuk air menggelegak. Andainya kesemua aspek ini dipenuhi dan memberi keselesaan (berkesan dan cekap) kepada pengguna (diri kita), maka barulah dapat dikatakan itu satu teknologi.

Maka, jelaslah bahawa teknologi (seperti dalam hal memasak air ini), bukan alat sematamata perkara yang dititikberatkan. Ia sesungguhnya adalah juga satu proses, satu kaedah dan satu idea. Heinich, Molenda dan Rusell (1969) menyokong pandangan ini dengan tafsiran teknologi seperti berikut:

Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkumi proses dan idea. Kekuatannya terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat. Ini bermakna, dalam merancang sesuatu pengajaran, perancangan awal yang melibatkan penggunaan idea sama ada dalam bentuk teori, pendekatan, kaedah dan sebagainya adalah merupakan proses yang terpenting. Alat pula merupakan “pemangkin” ke arah mencapai kejayaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...